Pengikut

Khamis, 6 Ogos 2015

Serpihan dari Pulau Reunion sah milik pesawat MH370 - Najib





KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion di Perancis Julai lalu adalah daripada pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Najib mengumumkan perkara berkenaan dalam satu sidang media tergempar awal pagi Khamis di sini.

"Hari ini selepas 515 hari sejak kehilangan pesawat tersebut, adalah dengan berat hati saya memaklumkan bahawa pakar siasatan antarabangsa mengesahkan serpihan itu sah bahagian daripada MH370.

"Kami mempunyai bukti fizikal bahawa, seperti yang saya umumkan pada Mac 24 tahun lalu, MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

"Bagi pihak Malaysia, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada negara-negara, organisasi dan individu yang telah mengambil bahagian dalam carian ini," kata Perdana Menteri

Misteri kehilangan MH370 mula terungkai pada 29 Julai di kawasan pantai Pulau Reunion di Lautan Hindi selepas pekerja pantai menemui serpihan pesawat yang menyerupai sayap pesawat.

Pasukan pencarian Australia berkata mereka ‘berkeyakinan tinggi’ flaperon yang dijumpai di pulau tersebut yang berhampiran Madagascar itu adalah dari pesawat MH370.

Pemeriksaan lanjut pihak berkuasa Perancis kemudiannya mengesahkan “flaperon” tersebut bahagian pesawat jenis Boeing 777.

Spekulasi tersebar bahawa serpihan tersebut mungkin daripada MH370 kerana tiada insiden lain yang melibatkan pesawat jenis Boeing 777 yang terhempas di air pernah dicatatkan.

Penerbangan MH370 hilang sejak 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Beijing, China.

Penerbangan itu membawa 239 penumpang dan anak kapal itu hilang dari radar selepas sejam berlepas.

Pada 29 Januari 2015, Jabatan Penerbangan Awam Malaysia telah mengistiharkan penerbangan MH370 sebagai kemalangan dan semua mereka didalam pesawat itu dianggap maut.

Pengumuman itu dibuat supaya pampasan boleh dibayar kepada waris mangsa

Tiada ulasan: