Pengikut

Sabtu, 14 Januari 2017

ABANG JOHARI KETUA MENTERI SARAWAK KE-6

ABANG ZOHARI DILANTIK KETUA MENTERI SARAWAK KE-6

KUCHING-Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sarawak yang keenam di hadapan Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud di Balai Mengadap Utama, Astana Negeri, 13Januari2017(Jumaat)..

Abang Zohari, 67 tahun dilahirkan di Limbang dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kerajaan Merpati Jepang, Kuching dan kemudian di Sekolah Menengah Bantuan St. Joseph, juga di Kuching.

Beliau telah melanjutkan pelajaran di Henley College, Brunnel University, United kingdom dan mendapat Ijazah Sarjana dalam bidang pentadbiran perniagaan.

Datuk Amar menceburkan diri dalam kancah politik sejak tahun 1977 dan telah dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok pada 1981 dan dilantik sebagai Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak ketika itu iaitu TYT sekarang, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud pada tahun 1982.

Kepercayaan pengundi kawasan Satok terhadap beliau terbukti apabila mempertahankan kerusi kawasan berkenaan selama sembilan penggal berturut-turut pada tahun 1981, 1983, 1987, 1991, 1996, 2001, 2006, 2011 dan terkini 2016.

Perjalanan karier politik Abang Zohari terus berkembang dalam kabinet kerajaan negeri apabila dilantik sebagai Menteri Muda Kemajuan Wilayah dan Pembangunan Masyarakat pada tahun 1984 seterusnya dilantik sebagai menteri yang bertanggungjawab kepada sebuah kementerian baru iaitu Kementerian Pembangunan Perindustrian Sarawak pada 1987.

Abang Zohari yang memenangi kawasan DUN Satok dalam piihan raya negeri 1991 dan 1996 telah dilantik kembali menjawat portfolio yang sama iaitu Menteri Pembangunan Perindustrian sehingga 14 September 2000.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Menteri Pelancongan pada 15 September 2000 dan kecemerlangan rekod kemenangan beliau dalam pilihan raya negeri di kawasan yang sama terus dikekalkan pada PRN 2001.

Dalam rombakan kabinet pada 1 Julai 2004, Abang Zohari telah dilantik menerajui Kementerian Perumahan dan pada 8 November 2009 semasa rombakan kecil kabinet negeri, Kementerian Perumahan telah ditukar nama kepada Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar.

Kabinet negeri sekali lagi dirombak pada September 2011 dan Abang Zohari diberi kepercayaan untuk memegang dua kementerian iaitu Kementerian Perumahan dan Kementerian Pelancongan sehingga April 2016.

Kemenangan Barisan Nasional negeri pada pilihan raya tahun lepas menyaksikan Abang Zohari memegang tiga portfolio iaitu sebagai Timbalan Ketua Menteri, Menteri Pelancongan, Kebudayaan & Kesenian dan Menteri Perumahan & Urbanisasi.

Sebelum menceburkan diri dalam bidang politik, Abang Zohari pernah bertugas sebagai Pegawai Eksekutif dalam Penerbangan Malaysia (MAS).

Di samping bergiat dalam bidang politik, beliau juga telah dilantik sebagai Presiden, Penaung, Ahli Lembaga dan sebagainya kepada beberapa buah persatuan dan pertubuhan sosial di negeri ini.

Di atas jasa bakti beliau kepada bangsa dan negara, Abang Zohari telah dianugerahkan dengan pingat Johan Bintang Sarawak (J.B.S) pada 7 Julai 1985 dan Panglima Negara Bintang Sarawak (P.N.B.S) yang membawa gelaran “Dato Sri” pada 16 September 1990.

Pada 25 Oktober 2008 bersempena dengan Hari Jadi Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri ketika itu, Abang Zohari dianugerahkan dengan Datuk Amar Bintang Kenyalang (D.A) yang membawa gelaran “Datuk Amar”.

Datuk Amar Abang Zohari telah mendirikan rumahtangga dengan Datin Amar Dato Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang dan dikurniakan seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Turut hadir, isteri TYT YDN, Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Ragad Kurdi Taib, isteri Abang Zohari, Datin Amar Dato Hajjah Juma'ani Tun Tuanku Haji Bujang, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Menteri-Menteri Kerajaan Negeri dan Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan.

Tiada ulasan: