Pengikut

Ahad, 15 Januari 2017

TIADA PEMIMPIN SEPERTI ADENAN SATEM KATA TAIB MAHMUD

TIADA PEMIMPIN SEPERTI ADENAN SATEM KATA TAIB MAHMUD

KUCHING - Belum pernah Sarawak menampilkan seorang pemimpin yang memberi impak begitu besar kepada negeri ini dan rakyatnya seperti Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia semalam, hanya dua minggu sebelum menyambut hari lahirnya ke-73.

Beliau diserang penyakit jantung yang menyebabkan beliau menggunakan perentak jantung untuk menstabilkan denyutan selepas tidak sampai tiga tahun menyandang jawatan dan enam bulan untuk memenuhi tempoh penggal baharunya selama lima tahun.

Kesihatannya ialah perkara yang paling dibimbangi hampir semua rakyat Sarawak sejak beberapan lama kerana di sini berdiri seorang pemimpin yang mempunyai gaya kepimpinan inklusif, slogan "saya ketua menteri untuk semua" dan personalitinya yang mudah mesra, jelas membezakannya sebagai pemimpin yang lebih baik untuk negeri yang sebahagian besarnya didominasi kawasan luar bandar yang masih kekurangan infrastruktur asas.

Ini diakui sendiri oleh pemimpin terdahulu, Tun Abdul Taib Mahmud, ketua kerajaan negeri yang paling lama berkhidmat dan yang secara peribadi memilih Adenan sebagai penggantinya apabila beliau mengundur diri pada Februari 2014 selepas 33 tahun menyandang jawatan Ketua Menteri.

"Adenan telah berkhidmat dengan baik di negeri ini dan beliau berkhidmat dengan penuh ikhlas. Beliau meninggalkan kerajaan yang sebaik-baiknya, bahkan lebih baik daripada apa yang saya mewarisi sebelumnya," kata Taib semalam di Pusat Jantung Kota Samarahan dekat sini, di mana Adenan menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Adenan telah beberapa kali, berkongsi pengalaman saat-saat beliau hampir meninggal dunia sama ada dalam ceramah umum dan juga semasa saya menemu bual beliau sebelum pilihan raya negeri Sarawak pada Mei tahun lepas apabila menerajui Barisan Nasional dengan mendapat kemenangan besar.

"Tiga tahun lepas, saya benar-benar sakit. Saya berada di IJN (Institut Jantung Negara) di Kuala Lumpur dan sebelum itu di Singapura. Pada masa itu, saya menyangkakan yang saya akan pergi. saya panggil semua saudara saya, anak dan cucu saya. Mereka semua datang dan apabila anda memanggil semua anak dan cucu, kamu pasti tahu apa sebabnya.

"Saya sudah bersedia untuk pergi. Namun Allah itu maha hebat dan saya pulih dan kembali normal. Apabila Tuhan memberi nafas baharu, Dia seolah-olah menyampaikan mesej kepada saya untuk melakukan yang terbaik untuk Sarawak," kata beliau.

Faktor Adenan dan "demam" Adnan yang menyelubungi negeri ini menyebabkan beliau disayangi oleh semua lapisan masyarakat di negeri yang masalah perkauman atau agama tidak pernah menjadi isu, apatah lagi faktor yang menimbulkan perpecahan.

Adenan hanya mahu untuk berkhidmat untuk lima tahun bagi melaksanakan pelbagai rancangannya bagi melonjakkan pembangunan di negeri ini, terutama mengubah landskap luar bandar di negeri ini yang mendapat rangsangan melalui projek pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo.

Lebuhraya Pan-Borneo ialah pencetus perubahan menghubungkan Sarawak dan Sabah seperti Lebuhraya Utara-Selatan di tanah besar semenanjung dan bermula hanya selepas Adenan menjadi ketua menteri dan bukan dalam tempoh 50 tahun sebelum itu sejak Sarawak merdeka dalam Malaysia.

Beliau bijak menyusun kata-kata, sifat ini terbit mungkin kerana beliau mempunyai pengalaman sebagai wartawan. Kerja pertama beliau ialah sebagai wartawan The Sarawak Tribune, akhbar tertua di negeri ini. Beliau kemudian mengambil jurusan undang-undang dan memperoleh ijazah sebagai peguam di Brisbane, Australia dan kemudian menjadi majistret di sini sebelum menceburi politik.

Sifatnya yang suka berjenaka kadang-kala menarik perhatian tetapi hadirin, baik perdana menteri mahupun orang biasa, menerimanya dengan tenang kerana tahu beliau bermaksud baik.

Sebagai contoh, pada pertemuan anak-anak Sarawak yang tinggal di Kuala Lumpur dan Selangor di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tahun lepas sebelum pilihan raya negeri, Adenan berkata beliau mahu berkhidmat "hanya lima tahun dan bukan 33 tahun", secara sinis merujuk kepada mentornya Taib, yang turut hadir.

Faktor Taib yang panjang umur dan tidak dicabar ketika menerajui Sarawak menyebabkan negeri ini kurang bilangan ketua menteri. Adenan ialah ketua menteri yang kelima sejak 1963 apabila Sarawak, Sabah dan Persekutuan Tanah Melayu ketika itu bergabung sebagai persekutuan Malaysia sedangkan kebanyakan negeri lain mempunyai sekurang-kurangnya lebih dua kali ganda bilangannya.

Pada pilihan raya negeri 2011 di bawah Taib, BN kalah banyak kerusi pengundi kaum Cina kepada DAP tetapi dasar Adenan menyebabkan beliau diterima oleh kaum Cina dan pada pilihan raya tahun lepas, BN memenangi tujuh daripada kerusi yang tewas sebelumnya.

Satu daripada kenyataan pro-Cina beliau yang tular di media sosial ialah "Masyarakat Cina bukan pendatang di Malaysia. Jika ada rakan saya di Semenanjung Malaysia memanggil mereka 'pendatang', pergi jahanam dengan mereka."

Dan beliau tidak ragu-ragu walaupun membuat kenyataan berbisa menentang usaha meminggirkan Bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan dan menyifatkan dasar sedemikian sebagai "bodoh" kerana Bahasa Inggeris ialah bahasa ilmu antarabangsa.

Tiada pemimpin lain pernah cuba menggesa supaya sistem itu dikaji semula tetapi Adenan bertekad untuk berbuat demikian sekurang-kurangnya bagi Sarawak.

Pemergiannya mungkin menjejaskan usaha sedemikian untuk mengembalikan kegemilangan era pendidikan berkualiti yang dinanti-nantikan oleh setiap penduduk di negeri ini.

Tetapi tekad Adenan untuk melaksanakan dasar-dasar berpaksikan Sarawak yang kadang-kala bercanggah dengan dasar-dasar persekutuan atau mungkin menyebabkan Putrajaya berasa kurang senang, yang menyebabkan beliau begitu dikenali berdasarkan ucapan takziah daripada netizen yang mencurah-curah diterima.

Adenan mahu supaya kuasa pentadbiran dikembalikan kepada Sarawak dan untuk tujuan ini, beliau mengemukakan perjanjian penurunan kuasa 13 perkara kepada Putrajaya.

Ucapan takziah bertali arus diterima mengenai Adenan daripada kebanyakan mereka yang berdukacita atas kematian beliau secara mengejut ketika Sarawak amat memerlukan kepimpinan beliau untuk mencapai apa yang telah digariskan.

Ahli akademik Prof Madya Dr Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak berkata Adenan "mengorbankan dirinya" untuk Sarawak kerana beliau bekerja keras dengan mengenepikan kepentingan peribadi dan di tengah-tengah keadaan kesihatan yang serius.

Sabtu, 14 Januari 2017

ABANG JOHARI KETUA MENTERI SARAWAK KE-6

ABANG ZOHARI DILANTIK KETUA MENTERI SARAWAK KE-6

KUCHING-Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sarawak yang keenam di hadapan Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud di Balai Mengadap Utama, Astana Negeri, 13Januari2017(Jumaat)..

Abang Zohari, 67 tahun dilahirkan di Limbang dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kerajaan Merpati Jepang, Kuching dan kemudian di Sekolah Menengah Bantuan St. Joseph, juga di Kuching.

Beliau telah melanjutkan pelajaran di Henley College, Brunnel University, United kingdom dan mendapat Ijazah Sarjana dalam bidang pentadbiran perniagaan.

Datuk Amar menceburkan diri dalam kancah politik sejak tahun 1977 dan telah dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok pada 1981 dan dilantik sebagai Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak ketika itu iaitu TYT sekarang, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud pada tahun 1982.

Kepercayaan pengundi kawasan Satok terhadap beliau terbukti apabila mempertahankan kerusi kawasan berkenaan selama sembilan penggal berturut-turut pada tahun 1981, 1983, 1987, 1991, 1996, 2001, 2006, 2011 dan terkini 2016.

Perjalanan karier politik Abang Zohari terus berkembang dalam kabinet kerajaan negeri apabila dilantik sebagai Menteri Muda Kemajuan Wilayah dan Pembangunan Masyarakat pada tahun 1984 seterusnya dilantik sebagai menteri yang bertanggungjawab kepada sebuah kementerian baru iaitu Kementerian Pembangunan Perindustrian Sarawak pada 1987.

Abang Zohari yang memenangi kawasan DUN Satok dalam piihan raya negeri 1991 dan 1996 telah dilantik kembali menjawat portfolio yang sama iaitu Menteri Pembangunan Perindustrian sehingga 14 September 2000.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Menteri Pelancongan pada 15 September 2000 dan kecemerlangan rekod kemenangan beliau dalam pilihan raya negeri di kawasan yang sama terus dikekalkan pada PRN 2001.

Dalam rombakan kabinet pada 1 Julai 2004, Abang Zohari telah dilantik menerajui Kementerian Perumahan dan pada 8 November 2009 semasa rombakan kecil kabinet negeri, Kementerian Perumahan telah ditukar nama kepada Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar.

Kabinet negeri sekali lagi dirombak pada September 2011 dan Abang Zohari diberi kepercayaan untuk memegang dua kementerian iaitu Kementerian Perumahan dan Kementerian Pelancongan sehingga April 2016.

Kemenangan Barisan Nasional negeri pada pilihan raya tahun lepas menyaksikan Abang Zohari memegang tiga portfolio iaitu sebagai Timbalan Ketua Menteri, Menteri Pelancongan, Kebudayaan & Kesenian dan Menteri Perumahan & Urbanisasi.

Sebelum menceburkan diri dalam bidang politik, Abang Zohari pernah bertugas sebagai Pegawai Eksekutif dalam Penerbangan Malaysia (MAS).

Di samping bergiat dalam bidang politik, beliau juga telah dilantik sebagai Presiden, Penaung, Ahli Lembaga dan sebagainya kepada beberapa buah persatuan dan pertubuhan sosial di negeri ini.

Di atas jasa bakti beliau kepada bangsa dan negara, Abang Zohari telah dianugerahkan dengan pingat Johan Bintang Sarawak (J.B.S) pada 7 Julai 1985 dan Panglima Negara Bintang Sarawak (P.N.B.S) yang membawa gelaran “Dato Sri” pada 16 September 1990.

Pada 25 Oktober 2008 bersempena dengan Hari Jadi Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri ketika itu, Abang Zohari dianugerahkan dengan Datuk Amar Bintang Kenyalang (D.A) yang membawa gelaran “Datuk Amar”.

Datuk Amar Abang Zohari telah mendirikan rumahtangga dengan Datin Amar Dato Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang dan dikurniakan seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Turut hadir, isteri TYT YDN, Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Ragad Kurdi Taib, isteri Abang Zohari, Datin Amar Dato Hajjah Juma'ani Tun Tuanku Haji Bujang, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Menteri-Menteri Kerajaan Negeri dan Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan.

Jumaat, 13 Januari 2017

KETUA MENTERI SARAWAK KE-6 TAHNIAH ABANG JO

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari dijangka mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak keenam di Astana di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, pada jam 4 petang hari ini.

Pelantikan Abang Johari yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu adalah susulan pemergian Tan Sri Adenan Satem ke rahmatullah pada Rabu (11 Januari).

PBB dilaporkan sebulat suara menyokong Abang Johari untuk mengisi jawatan tersebut, menurut kata Naib Presiden parti berkenaan Datuk Awang Tengah Ali Hasan.

Terdahulu, nama Abang Johari disebut-sebut bakal menggantikan Adenan selain nama Awang Tengah dan seorang lagi Naib Presiden parti berkenaan, Datuk Amar Douglas Uggah.

Berdasarkan kelaziman, ketua menteri dipilih dari kalangan pemimpin kanan PBB, iaitu parti terbesar di negeri Sarawak.

Khamis, 12 Januari 2017

PESAN TAN SRI ADENAN

Jangan lamak gilak kitak orang di malaya. Pulang kita ke sarawak. Berbakti pada negeri dirikpun mun ada peluang.

-Tan Sri Adenan Satem
#AlFatihah

Rabu, 11 Januari 2017

SARAWAK BERKABUNG 7 HARI


Jenazah Ketua Menteri akan dibawa dari kediaman peribadinya di Santubong ke Masjid Jamek Sarawak Petra Jaya 10 pagi esok, orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir bermula 10.30 pagi

Esok 12/01/2017(KHAMIS) diumum hari kelepasan am bagi negeri Sarawak

Tujuh hari tempoh berkabung & bendera dikibar separuh tiang.

Pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa
-Abang Johari(Timbalan Ketua Menteri Sarawak)

sumber : bernama

ADENAN SATEM PEMIMPIN BERJIWA RAKYAT.


Pemergian pemimpin kesayangan rakyat Sarawak yang berbilang kaum dan agama Tan Sri Adenan Satem yang mesra dengan panggilan "Tok Nan" dan "Apai Besai" hari ini pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat negeri itu.
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Prof Dr Jeniri Amir berkata Allahyarham pergi terlalu awal ketika rakyat negeri itu masih lagi memerlukan khidmat beliau untuk terus membawa kemajuan dan perubahan di Sarawak.
"Allahyarham pergi terlalu awal, ketika rakyat Sarawak masih lagi amat memerlukan beliau untuk memperjuangkan nasib rakyat yang berbilang bangsa dan agama.
"Secara peribadi saya anggap beliau ibarat lilin, untuk menerangi masa depan rakyat Sarawak, beliau sanggup mengambil risiko dengan keadaan kesihatannya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jeniri berkata cara kepimpinan Adenan yang berani dengan memperkenalkan 55 dasar baharu sebelum ini membuktikan beliau amat memahami kehendak rakyat negeri itu yang mahukan perubahan dan kemajuan yang lebih cepat.
"Adenan dekat di hati rakyat Sarawak, ke mana dia pergi rakyat senang dengan caranya yang merendah diri, kita boleh baca di setiap entrinya di Facebook, pasti rakyat senang dengan caranya mendekati rakyat," katanya.
Dalam pada itu, seorang anak kelahiran Sarawak Abdul Khalid Mahdi berkata pemergian Tok Nan pastinya amat dirasai kerana beliau merupakan pemimpin kesayangan seluruh rakyat negeri itu tanpa mengira bangsa dan agama.
"Kami seluruh Sarawak sayangkan Tok Nan, tak kira apa agama, bangsa dan politik," katanya dalam status terkini Facebooknya.
Alfa El Prince juga anak Sarawak dalam status Facebooknya berkata pemergian Adenan ibarat kehilangan bapa kepada rakyat Sarawak ketika rakyat negeri itu belum bersedia untuk berpisah dengannya.
"Kasih rakyat Sarawak padanya (Adenan) melebihi kasih pada pemimpin. Seluruhnya menganggap dialah Bapa Sarawak, "Apai Besai kami" (Bapa besar kami). Bapa yang selama ini membela, berjuang mempertahankan kedaulatannya telah meninggalkan anak-anaknya tanpa bersedia," katanya.
Dalam pada itu, Joseph Musat dalam kiriman kumpulan WhatsApp Anak-anak Sarawak di Semenanjung berkata Adenan amat dekat di hati mereka walaupun jauh merantau.
"Ketika program "Lan Berambeh" tahun lalu Tok Nan begitu bersungguh-sungguh untuk memastikan rakyat Sarawak terbela walaupun di mana sahaja mereka berada," katanya.
Adenan, 72, meninggal dunia di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan, Kuching 16 hari sebelum hari lahirnya yang ke-73.
Beliau merupakan Ketua Menteri Sarawak yang kelima selepas mengambil alih tugas daripada Tun Abdul Taib Mahmud pada 28 Feb 2014.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Puan Seri Jamilah Anu serta lima anak, masing-masing empat perempuan dan seorang lelaki. 

Jumaat, 25 Disember 2015

MERRY CHRISTMAS AND HAPPY NEW YEAR 2016


kami di penapejalanan.blogspot.com ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut hari krismas kepada semua rakan rakan dan pengunjung laman ini yang beragama kristian diseluruh malaysia.